Saat ini aku menulis tanda ingatanku kepada Yang Maha Mencipta dan Baginda Rasul S.A.W

Bila melihat awan, langit, bumi, lautan mengingatkan aku kepada betapa besarnya Sang Pencipta. Terasa kerdil sekali diri ini bila hendak berdepan dengan Mu. Saat ini juga membuatkan aku menangisi segala kesilapanku yang lalu dan belum mampu aku tinggalkan. Aku mencari sebutir permata untuk ku jadikan cahaya pada jalanku yang gelap ini. Sesungguhnya ujian Allah kepada hambanya terlalu besar dan cukup mengajarku tentang erti kesabaran dan berusaha menjadi lebih baik daripada semalam walaupun ianya terlalu sukar dan memeritkan...

Tuesday, November 1, 2011

Pintu Taubat Siri 1

Heineken, Tiger & Carlsberg..

Memetik cerita dari si peneropong kegelapan...

...tatkala melangkah masuk kedalam dunia yang samar-samar cahayanya dia termenung melihat cahaya yang paling terang di dalam kegelapan lantas berbisik sendiri mengapakah harus ia terang? Dalam terangnya cahaya itu sesekali dibayangi dengan bayang- bayang yang melenggok di dalam kegelapan...

Muzik berdentum seakan lupa bahawa pendeknya umur dunia. Bahkan ia juga seakan meneggelami ingatan kepada kematian... Walhal hakikatnya berbeza, setiap hari umur semakin singkat walaupun angka dan ketika makin bertambah. Si pari- pari yang mengaku beriman kepada Yang Maha Esa tidak segan silu meneguk dan mengilai ketawa. Kesejukan tidak terasa bahkan ia dihangati dengan lurah- lurah dan bukit- bukau yang memeluk bicara. Dikiri kanan tiada yang berbicara namun bibir tetap mengungkap kata tanpa suara. Kulit babi menjadi harum dengan ciuman walaupun hakikatnya jijik dan busuk. Gelita seakan lupa bahawa akan ada cahaya yang lebih terang dan panas tanpa perlu teman. Tapi itu nanti sihati berbisik...

Namun sihati juga bingung samada ianya bisikan hamba yang telah bersumpah ingin menyesatkan atau dorongan hawa yang membuak. Mujur ada tali pengikat si pari- pari dari berterbangan keluar berjalan jauh. Jika tidak sudah pasti ia akan menjunam ke lubang yang sangat dalam dan ditujah dengan serakah yang semakin bermaharaja lela. Bingung tapi bait- bait puisi penghangat suasana terus dititi dengan rima dan irama yang kononnya menenangkan dan menggembirakan mereka yang menumpang telinga. Padahal masing- masing seronok sendiri sehingga terlupa keldai lebih merdu dan nyaring suaranya...

Masa terus meniti sambil melihat aksi cekerama yang seakan tiada hujungnya. Ia seakan mahkamah yang menghukumkan semuanya halal tatkala menapak ke gerbang gelita. Aduh jauh dilubuk hati menangis dan meronta. Kasihan melihat suasana. Kasihan melihat si pari- pari yang ditipu dengan keseronokan sementara. Apabila sungai yang disebut tampak berbeza dari sesuatu yang amat bercahaya ada senyuman sinis yang memberi tanda betapa tidak modernnya dia. Modernkah jika sungai yang tiada dalam cahaya itu disebut dan diminta tatkala sungai- sungai yang mengalir sebenarnya kotor dan jijik sehingga 40 hari makiannya.

Mungkin dia berjaya merasai nikmat sungai yang tiada dalam cahaya itu. Tapi adakah mereka yang enak dibuai lena dengan siraman air terjun dari neraka itu merasa jijik dengan sungai yang tiada dalam cahaya itu? Sipari- pari juga dilarang meneguk air sungai yang ada dalam cahaya itu. Sesekali ingin sekali ditanya tidak takutkah dengan neraka namun ia digubah menjadi bila lagi? Sampai bila? Bila mahu berhenti? dan... tidakkah rasa berdosa. Nyata mereka ditipu dengan jalan yang mudah untuk mencari 'rezki' padahal setiap suapan dimulut keluarga mereka umpama menanam titik hitam pada hati yang kian parah.

Kembali merenung cahaya akhirnya ada suara yang berbicara, benarlah itu yang menjadi punca. Menarik mereka dengan adanya irama dan puisi. Padahal itu suapan yang nyata menipu seluruh manusia yang tidak sedar kiamat hampir tiba. Dia mengungkap hebatnya Imam Hassan Al-Banna mencuri ruang mengajak mereka kembali kepada Yang Esa sebelum nafas tercungap dan terhenti. Maka cahaya terang itulah harus dijauhi oleh seluruh warga agama samawi ini dengan sedar bahawa semuanya sebenarnya ditipu dengan budaya hedonisma yang membuatkan kita semakin jauh daripada yang esa.

Tuntas, terungkaplah kata jauhilah cahaya terang itu, tempatnya dan semua yang berkaitan dengannya kerana disana ada hamba bergelar syaitan yang akan terus menyesatkan manusia seluruhnya seperti dijanjikannya. Kembalilah kepada Yang Maha Esa dengan menyiram benih- benih taqwa kepadaNya. Sesungguhnya menerjah kedunia dan tempat yang gelita amat mudah kerana sukar dilihat namun ingatlah betapa Allah Maha Mengetahui setiap perbuatan hambanya. Maka diungkapkannya... Astaghfirullah, Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Apabila ditanya, apakah cahaya terang itu saudara? Jawabnya sayu; Heineken, Tiger & Carsberg serta apa yang sewaktu dengannya... Maka mengertilah bahawa ia adalah punca berpalingnya Allah daripada kita dan punca tertipunya manusia sehingga melihat syurga itu neraka dan neraka itu adalah syurga.

Hasbi robbi jallallah maa fi qolbi ghoirullah nur muhammad sollallah lailahaillah.

Nukilan :
pelitaayam@monainisarts
2:29a.m
2 Nov 2011

No comments:

Post a Comment